Subscribe:

Pages

Rabu, 22 Jun 2011

BOROS BERBELANJA KETIKA PRN SARAWAK PUNCA UTAMA "HIMPUNAN BERSIH"


"Kerajaan persekutuan boros berbelanja, sebanyak RM500 juta dihabiskan dan menjanjikan projek pembangunan berjumlah RM1.18 bilion kepada rakyat Sarawak"

Penasihat DAP, Lim Kit Siang
PETALING JAYA: Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, sikap kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) yang boros berbelanja dengan menghabiskan RM500 juta ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak merupakan salah satu punca Himpunan Bersih 9 Julai bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil dianjurkan. 

“Kerajaan persekutuan boros berbelanja, sebanyak RM500 juta dihabiskan dan menjanjikan projek pembangunan berjumlah RM1.18 bilion kepada rakyat Sarawak ketika berkempen pada PRN negeri itu,” kata beliau yang dipetik dari blognya hari ini.

Menurut Lim, di Parlimen semalam, dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Jabatan Perdana Menteri mendedahkan bahawa kerajaan persekutuan mengumumkan 62 program dan projek bernilai RM1.18 bilion di Sarawak ketika PRN negeri itu.

Sejumlah RM1.18 bilion itu diagih-agihkan di antara 10 kementerian, iaitu Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Luar Bandar dan

Pembangunan Wilayah; Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli; Kementerian Pertahanan; Kementerian Kesihatan; Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; Kementerian Pelajaran; Kementerian Air, Tenaga dan Teknologi Hijau; dan Kementerian Sains dan Inovasi.

Projek-projek itu termasuk kerja-kerja menambahbaik surau, masjid dan lain-lain rumah ibadah; dewan masyarakat, sekolah dan jalanraya; membaikpulih rumah panjang; penyediaan bekalan elektrik; pembinaan jeti dan jambatan; mengubahsuai klinik dan hospital; kerja penambatan banjir dan bantuan kebajikan serta sumbangan.

Ahli Parlimen Ipoh Timor berkata, bukan anggota BN Sarawak sahaja yang berkempen tetapi seluruh anggota Kabinet dan jentera kerajaan persekutuan berkempen hingga melanggar prinsip pilihan raya yang bebas dan adil.

“Perdana Menteri (Najib Tun Razak) terpaksa membatalkan mesyuarat Kabinet ketika PRN Sarawak, menarik kesemua menteri-menteri kerajaan pusat ke Sarawak dengan meninggalkan Putrajaya hingga kosong,” terang beliau.

Ujar beliau, “tindakan sebegini secara terang-terang berlaku salah guna kuasa hingga mencacatkan perjalanan PRN Sarawak, dan jauh sekali dari pilihan raya yang bersih dan adil.”

Menurutnya, dengan berbelanja lebih RM500 juta dalam PRN Sarawak, ini bermakna kerajaan pusat telah melanggar undang-undang pilihan raya yang menghadkan perbelanjaan untuk setiap seorang calon ahli dewan undangan negeri (Adun) kepada RM100,000 atau tidak sampai RM7.1 juta untuk 71 kerusi Dun.

“Memandangkan sikap yang boros ini adalah dijangka kerajaan BN akan membelanjakan sebanyak RM4 bilion hingga RM5 bilion pada pilihan raya umum ke 13 nanti,” jelas beliau.

Sumber: FREE MALAYSIA TODAY

Tiada ulasan:

Catat Ulasan