Subscribe:

Selasa, 14 Jun 2011

TAN SRI JAMES AJAK RAKYAT DAYAK SARAWAK BERSATU

Populasi Dayak di negeri Sarawalk terlalu kecil untuk kemunculan sebuah lagi parti berasaskan Dayak yang kukuh daripada sudut politik.

Presiden PRS Tan Sri James Masing berkata adalah lebih baik untuk Dayak bersatu di bawah satu parti yang menjamin keutuhan rakyat.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak menghalang mereka daripada cuba menubuhkan sebuah lagi parti Dayak iaitu Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan jika diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) akan dikenali sebagai PBDS Baru.

“Malaysia mengamalkan kebebasan berpersatuan dan saya ucapkan selamat berjaya kepada mereka,” katanya ketika dihubungi bagi mengulas berhubung isu ahli-ahli PBDS yang setia mahu mewujudkan PBDS Baru.

Sementara itu Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN) Abdul Karim Rahman Hamzah berkata penubuhan PBDS adalah satu daripada agenda pembangkang untuk memecah belah parti Bumiputera.

Katanya, pembangkang akan mencari apa jua cara untuk memecah belah kesatuan yang kukuh di kalangan Bumiputera di negeri ini.

Bagaimanapun, beliau percaya penubuhan PBDS Baru tidak mampu mempengaruhi rakyat Bumiputera dengan mudah berdasarkan kepada sokongan yang ditunjukkan pada pilihan raya lepas.

“Dua pilihan raya Sarawak yang lepas menunjukkan bahawa Bumiputera berdiri teguh di belakang BN.

“Oleh kerana mereka (pembangkang) gagal memasuki kawasan Bumiputera melalui parti pembangkang dari Semenanjung Malaysia maka kini mereka cuba menggunakan apa jua nama parti untuk tujuan itu.

“Bagaimanapun saya percaya Bumiputera di Sarawak tidak mudah dipengaruhi dan telah masak dengan politik kotor pembangkang yang cuba memecah belah keutuhan rakyat,’ katanya.

Semalam pengerusi Protem PBDS Baru Loius berkata pihaknya telah menunggu selama 15 bulan sejak ahli-ahli setia PBDS mengemukakan permohonan penubuhan PBDS Baru, bagaimanapun sehingga kini tiada maklum balas daripada ROS berhubung perkara itu.

“Saya tidak pasti apakah alasannya dan kenapa pendaftaran PBDS mengambil masa yang sangat lama. Kami tidak menerima sebarang berita atau maklum balas mengenai status permohonan.

“Ketika kami mengemukakan permohonan pada 26 Mac 2010, tiada masalah daripada ROS negeri.

“Permohonan kami kini masih menunggu keputusan diluluskan di peringkat pusat… kami amat mengharapkan maklum balas positif dan lampu hijau dengan itu kami boleh mengatur jentera kami untuk membawa PBDS Baru ke peringkat seterusnya.

Manakala bekas Setiausaha Agung Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Wilfred Gomez Malong percaya penubuhan PBDS Baru kekal relevan kepada perjuangan rakyat dan politik hari ini.

Beliau  berkata perpaduan Dayak di bawah satu  parti masih relevan kerana pembuat dasar (kerajaan sekarang) perlu membiasakan diri dengan sensitiviti dan keperluan komuniti itu khasnya.

“Hanya Dayak memahami masalahnya. Bagi memahami keperluan penduduk asal di sini, ia perlu melibatkan sepenuhnya pengalaman rakyat.

“Apabila kita melihat organisasi gabungan kerajaan memerintah sekarang (Barisan Nasional), badan-badan politik yang menganggap diri sebagai parti Dayak hanya dilihat sebahagian daripada cawangan badan pentadbir ini,” ujarnya.

PBDS ditubuhkan pada 1983 oleh Tan Sri Datuk Amar Dr Leo Moggie selepas mengundur diri dari Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).

Kemuncak perjuangan PBDS ialah pada pilihan raya negeri 1987 apabila terlibat dalam krisis politik dikenali Skandal Ming Court.

Dalam pilihan raya itu PBDS menang 15 kerusi ditandingi manakala PERMAS yang juga pembangkang, menang satu kerusi.

Barisan Nasional pula menang tipis dengan kelebihan hanya lapan kerusi apabila ia menang 28 daripada 28 kerusi ditandingi dalam pilihan raya negeri itu.

PBDS kekal sebagai parti pembangkang sehingga diterima semula sebagai komponen BN Negeri pada 1994.

PBDS digugurkan pendaftarannya pada 5 Disember  2003 tetapi didaftar semula setahun selepas itu bagaimanapun digugurkan pendaftarannya semula pada 21 Oktober 2004 hingga kini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan