Subscribe:

Pages

Selasa, 14 Jun 2011

JANGAN DISEBABKAN NYAMUK SEEKOR, KELAMBU DIBAKAR - NAJIB





Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  yakin, dialog merupakan pendekatan paling sesuai dalam menangani isu sensitif berkaitan kaum dan agama dalam mewujudkan suasana harmoni antara kaum dan agama.

Tegas beliau, dialog ini bagaimanapun mesti berasaskan keikhlasan dan kematangan bagi mencapai persefahaman dan keharmonian.

“Saya melihat, dalam konteks hubungan antara agama, sekiranya dialog ini didukungi dan disantuni oleh golongan tokoh agama masing-masing, ia pasti akan melahirkan impak berganda kepada masyarakat” katanya malam tadi.

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-54 bertemakan 1MALAYSIA 1UMMAH di Dewan Kompleks Islam Sarawak.

Hadir sama, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi bersama Jawatankuasa Induk Tilawah, Datuk IR. Daud Abdul Rahman.

Seramai 29 Qari dan Qariah dari seluruh negara menyertai tilawah kali ini dengan semua negeri menghantar qari dan qariah, kecuali Kelantan yang hanya menghantar qari.

Najib berkata, kerajaan sentiasa memantau dan memelihara sensitiviti rakyat terhadap isu-isu agama yang dicetuskan oleh pihak tertentu yang seolah-olah sengaja mencurahkan minyak ke dalam api.

“Percayalah bahawa keharmonian dan keamanan ini mesti dipertahankan dan dikekalkan dengan meraikan kepelbagaian dan kemajmukan yang sedia ada. Inilah keunikan Malaysia kita. Jangan disebabkan nyamuk seekor, kelambu dibakar dan janganlah disebabkan isu yang remeh, maka kita sanggup menggadai keamanan yang kita kecapi pada hari ini” tambah beliau.

Bersulamkan benang kedamaian, kerajaan telah memperkenalkan gagasan 1Malaysia bagi mempertahankan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat berpaksikan keutuhan perpaduan.

“Jika diteliti dengan menggunakan minda yang terbuka, gagasan 1Malaysia adalah manifestasi konsep 1Ummah yang dituntut oleh Islam; sebagaimana pembinaan kota Madinah oleh Rasulullah S.A.W yang mengutamakan kesatuan rakyat dengan menghormati kepelbagaian agama dan bangsa yang wujud ketika itu” kata Najib.

Beliau turut mengingatkan rakyat agar mengadaptasi kebijaksanaan Nabawi melalui gagasan 1Malaysia dalam mewujudkan satu sistem nilai, toleransi dan budaya hidup setiap rakyat tanpa mengira bangsa, bahasa dan agama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan