Subscribe:

Pages

Khamis, 16 Jun 2011

MENARIK: RAKYAT TERMISKIN DAN PALING MENDERITA DI MALAYSIA


Terlebih dahulu Peluru Emas ingin memohon maaf jika terdapat sebarang kesilapan teknik bahasa dalam penulisan blog Peluru Emas ini, dan kepada para pembaca yang sangat setia dengan penulisan blog Peluru Emas ini, Peluru Emas juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda kerana anda terus bersama Peluru Emas dalam mengungkai satu per satu kisah-kisah permainan politik di negara Malaysia ini.

Bukannya Peluru Emas hendak memfitnah mana-mana parti, tetapi ini adalah kenyataan benar. Jika kita imbaskan kembali kisah-kisah ataupun sejarah yang telah berlaku dalam pilihanraya negeri Sarawak lepas, kita dapat lihat secara jelas akan taktik-taktik yang telah digunakan oleh calon-calon yang bertanding untuk memperolehi sokongan kuat daripada rakyat Sarawak untuk mencapai kemenangan mereka.

Apa yang pasti, seperti setiap kali pilihanraya memang ada-ada sahajalah janji-janji manis yang akan ditaburkan oleh calon-calon yang bertanding. Ada yang menjanjikan itulah... inilah... supaya rakyat akan percaya dan mengundi mereka. Tapi apa yang berlaku selepas pilihanraya? Adakah janji-janji yang mereka taburkan itu cuma manis dibibir sahaja? Jika benar mereka ingin mengotakan janji, mengapa sampai sekarang janji-janji yang telah ditaburkan sempena hari kempen pilihanraya negeri Sarawak lepas belum lagi terlaksana? Adakah janji-janji manis ini sudah menjadi satu tabiat atau kebiasaan di kalangan para calon yang bertanding dalam setiap kali pilihanraya? Selepas menang pilihanraya, batang hidung wakil rakyat pun tidak nampak. 

Jika diingat-ingatkan kembali, Peluru Emas sedikit tergeli hati bila membaca dan mendengar ayat yang mengatakan "rakyat Sarawak haruslah berfikir secara rasional dan matang dalam menentukan parti manakah yang paling tepat dalam memimpin negeri Sarawak, dan rakyat Sarawak juga dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang cuba memperkota-katikkan isu-isu semasa. Sedangkan negeri Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan yang dipimpin mereka sendiri miskin dan menderita apatah lagi ini ingin memegang kerajaan negeri Sarawak pula yang telah lama berjaya dan maju di bawah naungan pimpinan kerajaan Barisan Nasional. Rakyat Sarawak haruslah ingat, jangan sampai anda menerima nasib seperti rakyat di Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan."

Benarkah negeri Sarawak yang sudah lama berjaya dan maju di bawah naungan di kerajaan Barisan Nasional?

Beginilah keadaan rumah panjang baru yang menempatkan suku kaum Orang Ulu di Belaga yang telah dipindahkan oleh kerajaan Barisan Nasional di penempatan baru Sungai Asap, Belaga.

Dan satu lagi pertanyaan Peluru Emas, mengapakah negeri-negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat seperti Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan sahaja yang dicontohkan dan disebut sebagai negeri yang rakyatnya miskin dan menderita? Mengapa tidak libat sekali negeri Sabah yang sudah lama dipimpin oleh kerajaan Barisan Nasional? Adakah kehidupan rakyat Sabah pada hari ini sudah berubah maju dan negerinya pula kini kian pesat membangun?

Laporan Bank Dunia mengesahkan negeri Sabah merupakan negeri yang termiskin di Malaysia yang di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional


Memang benar Pakatan Rakyat boleh dikatakan sebagai parti asing di negeri Sarawak ini. Tapi, apakah dengan kehadiran Pakatan Rakyat yang digelar parti asing ke negeri Sarawak ini akan menyebabkan rakyat Sarawak bertambah miskin dan menderita?

Sedangkan berpuluh-puluh tahun, kerajaan Barisan Nasional telah memerintah negeri Sarawak, adakah kehidupan rakyat Sarawak pada masa ini sudah berubah menjadi kaya-raya?

Nah! Para pembaca sendiri tahukan bagaimana dengan kehidupan rakyat Sarawak sekarang di mana semua tanah mereka sudah dirampas oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab semata-mata untuk kepentingan diri mereka sendiri. Mangsanya rakyat.

Untuk itu, Peluru Emas nak ajak para pembaca sekalian melihat rakaman video ini yang mengisahkan sebuah suku kaum Kenyah Badeng dari Long Gang, Belaga yang bermati-matian ingin mempertahankan hakmilik mereka seperti tanah-tanah pusaka dan kampung halaman mereka daripada dimusnahkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud yang juga merupakan presiden Parti PBB/ Barisan Nasional Sarawak untuk tujuan pembinaan empangan Hidro Elektrik Bakun.


Sungguh kejamkan. Kita sebagai tuan punya tanah terpaksa diusir, dihalau serta disuruh keluar dari tanah hakmilik kita sendiri dan kemudiannya dipaksa pindah ke penempatan baru yang hanya menyediakan sebuah rumah dan tiga ekar tanah sahaja untuk setiap buah keluarga. Sementara, tanah beratusan hektar yang menjadi hakmilik rakyat Belaga dimusnahkan untuk kepentingan mereka sendiri. Wahai para pembaca sekalian, beginikah sikap para pemimpin yang kita inginkan?

Memetik kata-kata seorang daripada suku kaum Kenyah Badeng yang terdapat dalam rakaman video tadi, "biarpun kehidupan kami di sini kelihatan miskin, tetapi kami tetap kaya dengan tanah kerana bagi kami tanah adalah segalanya yang tidak mampu ditukarkan dengan wang. Wang senang dicari dan senang juga dihabisi, manakala tanah pula, susah dicari kerana tanah adalah segalanya. Jika tidak mempunyai tanah, di mana kita akan mencari makan dan untuk hidup?" 

Tambahan mereka pula, "jika kami dipindahkan ke penempatan baru nanti, belum tentu kami mampu memperolehi hasil seperti yang kami perolehi sekarang. Inikah yang dikatakan dengan kemajuan? Ini bukan kemajuan, tetapi ini adalah pembunuhan... pembunuhan di Batang Balui."

Siapakah individu dalang disebalik semua kekejaman ini? Tidak lain tidak bukan, Ketua Menteri Sarawak itu sendiri, Taib Mahmud. Taib Mahmud merupakan individu yang harus bertanggungjawab disebalik semua penderitaan rakyat Belaga sekarang. Beliau telah banyak menipu rakyat Belaga.

Perihatin terhadap rakyat Belaga, Peluru Emas mempunyai satu kukuh yang mengatakan Ketua Menteri Sarawak Taib Mahmud merupakan seorang penipu besar dan terus berbohong kepada rakyat Belaga.
Bukti: Keratan Akhbar Sarawak Tribune yang bertarikh 02 November 1983 yang yang mendedahkan KM Sarawak, Taib Mahmud yang menjanjikan 20% hingga 30% saham syarikat balak yang beroperasi di Belaga akan diperuntukkan untuk Orang Ulu Belaga


Jika dikirakan dengan teliti semua rakyat Belaga harus bergelar jutawan sekarang ini. Yakni setelah 28 tahun janji itu diucapkan, adakah rakyat Belaga sudah menjadi jutawan? Nah! Bagi anda yang masih belum kenal siapa sebenarnya Ketua Menteri Sarawak Taib Mahmud, inilah perwatakan sebenarnya dia. Perampas, penipu, pembulak, perasuah dan pembohong besar.

Jadi, persoalan yang ingin Peluru Emas ketengahkan disini ialah rakyat di negeri mana yang sebenarnya miskin dan menderita? Parti manakah yang memimpin negeri tersebut? Pakatan Rakyat kah? Barisan Nasional...

Wahai anak-anak muda khususnya Orang Ulu Belaga termasuk juga anak-anak muda yang lain. Sedarlah dan bangkitlah demi menegakkan keadilan. Jangan biarkan kuasa jahat terus bermaharajalela dan berbohong kepada anda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan