Subscribe:

Selasa, 21 Jun 2011

KERANA TIDAK BERDISIPLIN, PKR TELAH MEMECAT 29 ANGGOTA AHLINYA

Datuk Dr Tan Kee Kwong
Memetik sumber BERNAMA hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata setiausahan agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Johnson Chong dan 28 anggota PKR yang lain dipecat kerana pelbagai isu disiplin.

Beliau berkata kebanyakan mereka dipecat selepas melanggar disiplin parti seperti bertanding menentang calon lain PKR pada pilihan raya, memaparkan aduan berkaitan parti dalam Facebook, hadir pada pelancaran parti lain serta menyokong calon parti lawan.

"Keputusan memecat mereka disyorkan terlebih dahulu oleh jawatankuasa disiplin parti sebelum ia dibincangkan biro politik, dan selepas itu jawatankuasa pusat (CC). Kami hanya mengumumkannya selepas ia disokong oleh CC," katanya ketika dihubungi.

Mengulas pemecatan Johnson Chong, Dr Tan berkata bekas pengarah komunikasi PKR itu didapati bersalah membantu calon parti lawan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini.

"Kami telah menghantar surat menerusi mel berdaftar untuk memaklumkan keputusan memecat mereka," katanya.

Bagaimanapun, Dr Tan berkata mereka masih boleh merayu kepada presiden parti atau setiausaha agung, dan satu jawatankuasa akan dibentuk untuk meneliti rayuan itu.

Antara yang dipecat ialah Thony Badak kerana bertanding atas tiket parti lawan iaitu Parti Nasional Sarawak (SNAP), dan Michael Jok, yang bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Negeri Sarawak.

"Seorang lagi anggota parti, Joyce Lee dari Batu Kawan, Pulau Pinang pula dipecat kerana membuat kenyataan yang tidak menyenangkan berhubung parti dalam Facebook beliau," katanya.

Dr Tan juga berkata 10 anggota PKR turut digantung manakala 12 lagi diberikan amaran kerana pelbagai isu disiplin dalam parti.

"Mereka ini bukan sebahagian daripada 29 anggota PKR yang dipecat," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan