Subscribe:

Pages

Khamis, 21 Julai 2011

ISU PERPECAHAN KAUM MELAYU ADALAH DAKYAH PEMBOHONGAN UMNO

Presiden Jemaah Islah Malaysia, Zaid Kamaruddin

PETALING JAYA: Sebuah badan Islam bukan kerajaan (NGO) mendakwa orang Melayu tidak berpecah tetapi telah digembar-gemburkan sedemikian rupa secara berlebihan oleh parti politik Umno. 

Jemaah Islah Malaysia (JIM) juga mendakwa kepentingan orang Melayu tetap terpelihara kerana dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan selain peranan Majlis Raja-raja Melayu.

NGO Islam itu hairan mengapa Umno terlalu membesar-besarkan dakyah pembohongan kononnya berlaku perpecahan di kalangan orang Melayu.

“Orang bukan Umno tidak pula merasa orang Melayu dan Islam tergugat, NGO Islam tidak pula rasa seperti itu,” kata Presiden JIM, Zaid Kamaruddin dalam satu temubual dengan FMT semalam.

Beliau menegaskan, gejolak politik negara termasuk selepas pilihan raya umum 2008 tidak menyebabkan orang Melayu di negara ini berpecah atau mereka merasa tergugat.

Zaid juga tidak menganggap orang Melayu berpecah kerana politik walaupun dua parti politik terbesar orang Melayu berada dalam kelompok yang bertentangan.

Umno bergabung dengan Barisan Nasional (BN) yang sedang memerintah manakala PAS menyertai pakatan pembangkang, Pakatan Rakyat.

“Orang Islam berpecah bukan kerana politik. Saya tidak nampak orang Islam di Malaysia berpecah, kerana apabila ada isu yang menggugat agama Islam mereka akan bangkit bersama mempertahankannya.

“Orang Islam selalunya sangat sensitif dalam isu agama dan isu halal haram. Tidak kira orang Umno atau orang PAS, mereka akan bersatu, demi agama mereka lupakan politik,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kebimbangan pelbagai pihak termasuk pemimpin parti politik terhadap perpaduan orang Islam.

Umno Takut Hilang Kuasa

Para pemimpin Umno berulangkali mendakwa orang Melayu berpecah dan merayu perpaduan dengan PAS untuk kepentingan orang Melayu.

Zaid bagaimanapun, menolak dakwaan tersebut sambil mendakwa Umno mempunyai kepentingan sendiri dalam isu perpaduan orang Melayu.

“Saya hairan mengapa Umno risau dengan perpaduan orang Melayu sedangkan PAS tidak pula bersikap demikian.

“Orang Umno lebih rasa tergugat, takut hilang kuasa dan akan membaca bencana yang besar, kekalahan moral dan segala rahsia dalaman akan terbongkar.

“Mengapa nampak orang Melayu dalam PAS dan Umno berpecah tetapi kita tidak kata DAP-MCA berpecah?,” soalnya.

Zaid menambah, walaupun BN tidak mendapat majoriti dua pertiga tetapi orang Islam masih dilindungi oleh Perlembagaan dan Majlis Raja-raja yang mempunyai kuasa dan kekebalan tertentu.

Bagaimanapun, presiden JIM itu mengakui ada sesetengah NGO Islam yang merasa bimbang dengan situasi yang berlaku ke atas orang Melayu hari ini.

Katanya, PAS, Umno dan PKR sepatutnya mempunyai hubungan yang baru antara satu sama lain untuk kepentingan orang Melayu.

Sumber: Muda Mohd Noor @ Free Malaysia Today 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan