Subscribe:

Pages

Selasa, 19 Julai 2011

JASAMU TETAP DIKENANG

Dalam kesempatan ini, blogger Peluru Emas ingin mengucapkan takziah buat keluarga mendiang James Wong atas pemergian beliau. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di antara orang-orang yang beriman.

Datuk Amar James Wong Kim Min

Datuk Amar James Wong Kim Min merupakan bekas menteri negeri yang telah memainkan peranan utama dalam penubuhan Malaysia telah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 89 tahun semalam.

Mendiang dimasukkan ke Pusat Perubatan Pakar Normah sekitar jam 10.30 pagi semalam selepas mengadu kurang sihat dan menghembuskan nafas terakhir beberapa jam selepas itu pada jam 2 petang.

Meninggal dunia akibat sakit tua, mendiang meninggalkan isteri, Datin Amar Velerie Bong, lapan anak, 13 cucu dan empat cicit.

Mayat mendiang dibawa ke kediamannya yang terletak di Jalan Nanas untuk upacara penghormatan terakhir sebelum dikebumikan.

Sebelum pemergiannya, mendiang telah mencadangkan bahawa sejarah penubuhan Malaysia harus dijadikan sebagai mata pelajaran di sekolah-sekolah di negara ini.

Mendiang  turut menyeru kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran agar memandang serius perkara ini dan memperkenalkan sejarah penubuhan Malaysia untuk diajar di sekolah.

Menurut mendiang, sejarah penubuhan Malaysia perlu diketahui oleh semua rakyat, terutama di kalangan generasi baru agar mereka menyedari betapa bertuahnya mereka setelah Malaysia ditubuhkan.

“Untuk kita di Sarawak amnya, kita patut menganggap diri sebagai antara yang bertuah kerana jika Malaysia tidak ditubuhkan pada 16 September 1963, negeri ini mungkin akan dijual kepada Indonesia,” kata mendiang.

Mendiang berkata demikian ketika berucap pada pelancaran dua naskhah buku barunya iaitu ‘Memories of Speeches Made at the Council Negeri’ dan ‘The Birth of Malaysia’ edisi ketiga di Sarawak Club di sini, baru-baru ini.

Buku ‘Memories of Speeches Made at the Council Negeri’ merangkumi koleksi ucapan-ucapannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika berkhidmat sebagai ahli DUN serta ahli kabinet.

“Dengan membaca buku ini, anda akan mengetahui lebih banyak mengenai sejarah Council Negeri memandangkan buku ini dianggap sebagai bersejarah kerana merangkumi tahun-tahun perintis ke-pada penubuhan Malaysia,” katanya.

Dilahirkan pada 6 Ogos 1922 di Limbang, mendiang Wong mendapat pendidikan rendah dan menengah di Sekolah St. Mary dan St. Thomas di sini sebelum melanjutkan pelajaran di Kolej Pertanian Serdang di Selangor.

Mendiang Wong muncul sebagai perintis kepada industri pembalakan di Sarawak pada 1959 manakala pada 1953 menyaksikan penglibatan awalnya dalam bidang politik apabila menjadi ahli Majlis Daerah Limbang.

Bermula dari 1956 hingga 2001, mendiang Wong merupakan ahli bagi Majlis Negeri Sarawak dan berkhidmat sebagai ahli bagi Malaysia Solidarity Consultative Committee yang antara tugas yang dipikul beliau ialah kemasukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia.

Mendiang merupakan Timbalan Ketua Menteri yang pertama dalam Kabinet Sarawak (1963-1966) dan sepanjang tempoh itu, beliau adalah timbalan ketua dalam Malaysia Goodwill Mission ke Afrika dan ahli delegasi Malaysia bagi Sesi Pertama Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari Mac 1974 hingga 1976.

Mendiang Wong yang bersara daripada perkhidmatan awam pada 2001, merupakan ADUN yang berkhidmat paling lama dalam negara bermula daripada  badan perundangan tertua Malaysia.

Antara lain, mendiang pernah memegang jawatan sebagai timbalan presiden Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dari 1966 hingga 1981 dan dilantik semula sebagai presiden SNAP pada 1981 hingga 2003.

Mendiang Wong pada hayatnya juga pernah memegang pelbagai portfolio dalam kerajaan, antaranya Menteri Alam Sekitar dan Pelancongan (1987-1994), Menteri Alam Sekitar dan Perumahan (1995-1997) dan Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam (1998-2001).

"JASAMU TETAP DIKENANG"



Tiada ulasan:

Catat Ulasan